10 Tips Efektif Untuk Ibu Bapa Muslim

PENGURUSAN KESEJAHTERAAN PSIKOLOGI DAN SOSIAL KELUARGA
DALAM MENANGANI PANDEMIK COVID 19
10 Tips Efektif Untuk Ibu Bapa Muslim

Pendahuluan
Kita semua sedang melalui satu cabaran yang kita belum pernah hadapi sebelum ini. Situasi pandemik wabak COVID 19 dan Perintah Kawalan Perjalanan (PKP) adalah perkara yang baru dan boleh menggangu kesejahteraan psikologi dan sosial keluarga.
Berikut adalah beberapa tips untuk menguruskan kesejahteraan psikologi dan sosial keluarga dalam menangani pandemik COVID 19.
1. Yakinlah Bahawa Pandemik Ini Akan Berakhir
Memang kita merasakan pandemik COVID 19 dan PKP ini macam tidak ada tarikh tamatnya. Sekatan jalanraya, penutupan premis perniagaan, penutupan sekolah, masalah kewangan dalan lain-lain seolah-olah akan berterusan. Walaupun kita tidak tahu tarikh sebenar pandemik ini akan berakhir, tetapi kepercayaan dan keyakinan bahawa ianya bukanlah pekara yang akan kekal boleh meringankan beban mental dan emosi kita.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penawar.” (Riwayat Bukhari)
Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah ketika menciptakan penyakit, diciptakan juga penawar. Maka berubatlah kamu.” (Riwayat Ahmad)
2. Jangan Menanggap Waktu Sekarang Ini Waktu Bercuti
Bangunlah setiap hari pada waktu yang biasa kita bangun sebelum berlakunya pandemik dan PKP. Bangunkan juga nak-anak kita seperti biasa, seperti hari-hari kita bekerja dan hari-hari anak-anak kita ke sekolah.
Kekalkan rutin dan aktiviti tidur harian macam biasa supaya kita dan anak-anak boleh merasakan sebahagian dari gaya hidup yang biasa dan normal. Ini juga penting untuk memudahkan kita dan anak-anak buat transisi kepada rutin hidup yang biasa (kerja dan sekolah) bila pandemik berakhir.
3. Buat Jadual Aktiviti Harian Untuk Kita dan Anak-Anak Kita
Anggaplah anak-anak kita bersekolah di rumah. Peruntukkan masa yang tetap dan sesuai untuk anak-anak melakukan kerja sekolah. Sekolah dan guru-guru ada menyediakan pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara atas talian. Pastikan kita mendapat maklumat terkini dari pihak sekolah dan guru.
Pada anak-anak yang masih kecil, mungkin cabarannya lebih disebabkan mereka tidak ada silibus pembelajaran yang lebih berstruktur. Walau bagaimanapun, juga amat penting untuk kita menyediakan jadual harian mereka yang boleh merangsangkan minda dan emosi mereka secara positif dan mengisi masa dengan lebih berfaedah.
4. Kawal Masa Anak-Anak Di Medan Sosial
Antara cabaran utama kita adalah bagaimana hendak memastikan urusan keluarga teratur dan terkawal, terutama kehidupan anak-anak. Sebelum ini, mungkinkita belum pernah meluangkan masa 24 jam, 7 hari bersama anak-anak. Jadi, mungkin ada di kalangan kita yang cuba menggunakan gajet dan alat-alat elektronik untuk mengawal masa dan aktiviti anak-anak (electronic baby-sitting).
Disebabkan banyak P&P berlaku di atas talian, anak-anak memerlukan akses kepada internet untuk belajar dan berinteraksi dengan guru-guru dan rakan-rakan sekolah. Kita kena memantau pengunaan internet anak-anak kita dengan lebih teliti. Mejuwudkan jadual aktiviti harian yang teratur adalah salah satu cara yang sangat baik untuk tujuan ini.
Pada masa yang sama, untuk ahli keluarga yang tinggal berjauahan, gunakan medan sosial untuk berhubung. Dan elok juga kita mengajar anak-anak untuk meningkatkan hubungan dengan saudara mara melalui medan sosial sebagai salah satu aktiviti harian mereka. Sekarang ini masa yang sangat baik untuk mengajar anak-anak kita untuk menggunakan medan sosial untuk perkara-perakar yang lebih berfaedah seperti untuk mengeratkan hubungan dengan jiran dan saudara mara.
5. Wujudkan Jadual Dan Aktiviti Harian Yang Seimbang
Semua kita memerlukan rangsangan minda, fizikal, emosi, spiritual dan sosial supaya kita membangun menjadi manusia yang seimbang, terutama bagi pembangunan anak-anak. Dalam menyusuan jadual aktiviti harian anak-anak kita, seboleh yang mungkin, pastikan aktiviti tersebut memenuhi keperluan yang pelbagai.
Kita kena lebih kreatif disebabkan kekangan ruang dan sumber-sumber yang lain. Boleh gunakan ruang tamu untuk melakukan senam robik yang mudah. Libatkan anak-anak kita dalam aktiviti memasak. Tingkatkan dialog dengan anak-anak dalam aktiviti keluarga. Tanyakan soalan-soalan kemahiran berfikir aras tinggi untuk lebih merangsangkan minda anak-anak. Adakan permainan bersama anak-anak yang melibatkan rangsangan yang pelbagai. Lakukan aktiviti keagamaan di rumah seperti solat berjamaah, puasa sunat bersama-sama, baca Mathurat bersama-sama dan lain-lain.
Tidak lama lagi kita akan menyambut Ramadhan. Ramadhan tahun ini berbeza disebabkan pandemik COVID 19. Buatlah persiapan bersama anak-anak untuk menyambut Ramadhan.
6. Kurangkan Kekerapan Memonton Berita Mengenai Pandemik
Bagi mereka ada ada tanda-tanda stres dan kebimbingan (anxiety) yang agak tinggi, kurangkan pendedahan (exposure) kepada berita-berita dan hal yang berkaitan dengan pandemik. Alihkan fokus kita kepada perkara dan aktiviti yang lebih positif. Juga lebih berhati-hati dengan berita-berita palsu, berita yang bersifat sensasional, dan berita yang boleh meningkatkan stres and kebimbingan kita.
Bagi anak-anak yang masih kecil, berita-berita mengenai kesakitan dan kematian boleh mengangu emosi mereka sebab berita sebegini boleh membawa kepada ketakutan yang melampau. Hadkan masa kita lebih kurang 2 jam untuk mendapatkan berita terkini mengenai pandemik. Jangan biarkan televisyen atau alat eletroknik lain sentiasa terpasang.
7. Mulai Sekarang, Buat Rancangan Harian Untuk Masa Yang Terdekat Sahaja – Lebih Kurang 3 Hari
Kita mungkin akan mengalami tekanan perasan dan kebimbangan yang tinggi disebabkan banyak perkara dalam hidup kita menjadi kurang atau tidak pasti. Berapa lama lagi PKP ini akan berlaku? Macamana dengan kerja saya? Apa nak buat dengan anak-anak saya? Bagaimana dengan percutian yang saya telah rancang 3 bulan dari sekarang? Apa akan jadi dengan pinjaman bank saya 4 bulan selepas ini?
Untuk masa sekarang, jangan terlalu memikirkan perkara yang agak jauh ke depan. Cuba rancang hidup untuk tiga hari sahaja. Dengan cara ini, kita boleh mengurangkan tekanan perasaan dan anzeiti kita berkaitan dengan beban untuk memikirkan dan membuat keputusan hidup, pada masa sekarang. Ini bukanlah bermakna kita tidak perlu selesaikan urusan hidup yang akan berlaku beberapa bulan yang akan datang, tetapi adalah lebih penting untuk kita juga perlu fokus dan berfikiran dan beremosi tenang dan stabil untuk menguruskan kehidupan pada masa sekarang.

8. Ketahuilah Bahawa Stres, Kebimbangan (Anxiety) dan Kemurungan (Depression) Boleh Menjadi Lebih Teruk
Tekanan perasaan yang tinggi, pengurangan interaksi sosial dan ketidakpastian (unpredictability) mengancam dan mengganggu kesejahteraan minda dan emosi, dan boleh membawa kepada kemurungan.
Anak-anak remaja biasanya akan lebih rasa tertekan bila kurang dapat berhubung dengan rakan-rakan. Anak-anak kecil juga boleh mengalami emosi negatif bila mereka kurang faham apa yang berlaku dan bila ditakutkan dengan berita kematian yang melampau. Kita mesti lebih prihatin terhadap perubahan emosi anak-anak kita.
Bapa mungkin risau mengenai hal kewangan. Ibu mungkin rasa tertekan mengenai pengurusan keluarga yang 24 jam. Kita sebagai ibu bapa mesti ada kemahiran untuk menguruskan tekanan emosi kita supaya tidak membawa kepada kesan negatif kepada anak-anak kita.
Yang utama, ibu bapa kena prihatin akan kesihatan minda dan emosi masing-masing. Pastikan tidur, selera makan dan rehat kita cukup dan normal. Bila kita rasa tertekan dan emosi kita menjadi negatif, kawal dan tangani dengan baik supaya tidak membawa mudharat dalam interaksi kita dengan anak-anak.

9. Tingkatkan Hubungan Dengan Allah
Firman Allah (swt) yang bermaksud:
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Al-Baqarah: 186)
Anggaplah musibah pandemik COVID 19 sebagai satu peluang untuk kita lebih akrab dengan Allah (swt). Orang yang beriman itu ialah orang yang sentiasa positif. Tukarkan segala cabaran hidup menjadi peluang untuk kita dan anak-anak memburu keredhaan Allah.
Berbincanglah dengan anak-anak kita pasal pandemik ini dari perspektif Al- Qur’an dan Sunnah. Fahamkan mereka. Ajarkan mereka doa-doa khusus berkaitan dengan wabak. Ceritakan bagaimana Rasulullah (saw) dan sahabat-sahabat Baginda menangani wabak di zaman mereka. Tingkatkan rasa kebergantungan anak-anak kepada Allah dalam semua hal kehidupan.
Firman Allah (swt) yang maksudnya:
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.” (Al-Mulk: 2)

10. Wujudkan Dan Bina Kumpulan Sokongan Kita (Support Groups)
Pandemik COVID 19 dan PKP membuka ruang yang luas untuk kita memulakan dan merapatkan hubungan dengan rakan-rakan dan ahli keluarga yang dekat dan jauh. Dengan bantuan teknologi, kita lebih mampu untuk melakukan perkara ini. Adalah sangat penting untuk kita mewujudkan kumpulan sokongan yang boleh membantu kita terutama ahli keluarga dan rakan-rakan karib.
Pihak kerajaan dan NGO juga ada menyediakan pelbagai kumpulan sokongan untuk membanbtu kita. Dapatkan maklumat mereka dan hubungi mereka untuk mendapatkan bantuan.
Kebiasaanya, ada gejala negatif yang berlaku semasa krisis-krisis besar berlaku seperti pandemik COVID 19 dan PKP – peningkatan kadar kemurungan, bunuh diri, penderaan rumahtangga (fizikal, emosi, seksual) dan lain-lain. Sekiranya kita mengalami ketidakstabilan emosi dan minda, segera berhubung dengan pihak-pihak yang boleh membantu.

Penutup
Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sungguh ajaib dalam urusan orang Mukmin. Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang Mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya.” (Riwayat Muslim)
Banyakkanlah bersabar dan bergantunglah kita kepada Allah. Sesungguhnya semua perkara itu dari Allah (swt) dan mohonlah kesabaran dari Allah (swt) dalam menghadapi ujian pandemik COVID 19 ini.

ABU HUZAIFAH
Ahli Panel, Psikospiritual IKRAM (PSI)
JK Pertubuhan Kesejahteraan Psikososial Malaysia (PKPM – NGO IKRAM)
Pegawai, Unit Latihan & Pembangunan Masyarakat, Yayasan Pendidikan Hidayah, Johor Bahru
12 April 2020
019 386 5622
Adnanbinomar2@gmail.com