Terkini- Memo Penangguhan Yuran

Memo Kewangan

Fail: AAN.PIMN (01)/100/01-20 (01)

Tarikh                 :             20 April 2020

Kepada               :             Ibubapa/Penjaga SRI AL-Amin Nilai/ Al-Amin Kids Centre

Tujuan                :             Penangguhan Yuran Bulanan

1.  Semoga semua ibubapa/penjaga serta anak-anak SRI Al-Amin Nilai dan Al-Amin Kids Centre sentiasa dalam pemeliharaan Allah, dijauhi dari segala penyakit dan wabak khususnya covid-19 yang sedang melanda negara dan dunia.

2. Mengambil kira situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak dapat dipastikan  bila ia akan berakhir, pihak pengurusan syarikat memutuskan untuk menangguhkan sementara semua jenis kutipan yuran bulanan bagi sekolah dan juga taska/tadika bermula Mei 2020. Penanguhan ini akan berlanjutan sehingga keadaan mengizinkan untuk sekolah dan tadika kembali beroperasi seperti biasa.

3. Penyelarasan semula semua jenis yuran bulanan (Yuran pengajian/tadika, yuran makanan, yuran kelas-kelas tambahan, yuran daycare dll) akan dibuat setelah tarikh mula semula operasi sekolah dan tadika dalam ditentukan. Ini bergantung kepada arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

4. Pihak pengurusan mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibubapa/ penjaga yang telah menyelesaikan bayaran yuran tahunan dan bulanan sehingga April 2020. Bayaran yuran tuan/puan sangat penting bagi memastikan operasi sekolah/ tadika mampu bertahan disaat-saat yang mencabar ini. Bagi ibubapa/penjaga yang masih mempunyai yuran tertunggak sehingga April 2020, pihak pengurusan amat berharap agar tunggakan ini dapat diselesaikan dalam kadar yang segera

5. Ibubapa/penjaga yang terjejas teruk dari sudut kewangan disebabkan krisis covid-19 ini dan menghadapi kesulitan menyelesaikan yuran bulanan, mohon berhubung dengan pihak sekolah untuk perbincangan lanjut.

6. Sementara itu, pengendalian sesi pembelajaran dan pengajaran atas talian akan diteruskan sepanjang tempoh PKP ini. Harapan pihak pengurusan agar ibubapa turut sama membantu proses pembelajaran anak masing-masing

7. Akhirnya, mewakili seluruh ahli Lembaga Pengelola Sekolah/ Tadika, guru-guru serta staff Al-Amin Nilai dan Al-Amin Kids Centre, kami mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan 1441H. Bersama kita memanfaatkan waktu PKP ini untuk memperbanyakkan amalan-amalan soleh dan sama-sama kita mendidik dan memotivasi anak-anak untuk turut sama melaksanakan amal ibadah dibulan yang mulia ini. Moga Ramadhan yang luar biasa tahun ini akan menjadi Ramadhan yang lebih baik dari tahun-tahun yang sebelumnya

…………………………………

Amirasyid Densibali

Pengurus Syarikat